Wednesday 9 November 2011

Ikan Keli salai segar dari kolam


Mahizan bin Mamat bercerita tentang perusahaan ikan keli salainya. Pada mulanya aktiviti ini hanya suka2 sahaja, buat mengisi masa lapang. Bila mendapat permintaan yang tinggi dan komen yang positif dari penduduk setempat, timbul rasa minat untuk membesarkan lagi pasaran ini. Bermula dengan perusahaan ternak ikan keli dari benih, memasarkan ikan keli hidup ke pasar borong pada setiap malam, menghantar ke restoran2, sudah lama menjadi rutin hidup ini semenjak tahun 2003 lagi, kini sudah lapan tahun berkecimpung, rugi rasanya jika tidak mempelbagaikan produk yang baru pula.

Beginilah rupa ikan keli salai yang telah siap untuk dihidangkan
Ikan keli salai memang mendapat sambutan hebat dari penduduk setempat khususnya, tetapi agak sukar untuk mendapatkannya dipasaran kerana kurangnya pengeluar dan ikan salai ini boleh tahan lebih lama jika disimpan ditempat sejuk. Saya membuat ikan salai ini dari mula iaitu dari memilih ikan sehingga terhidang dalam satu tempat (inhouse), cara begini lebih terjamin dari sudut kualiti ikannya dan rasanya. Setakat ini kebanyakan pembeli lebih gemar yang panas2, cara makan yang lebih enak ialah keli salai dicicah bersama budu dengan cili api. Berbagai cara memasak ikan keli salai ini, mengikut kreativiti seseorang, kalau dibuat masak lemak cili padi pun sedap juga. Bagi mereka yang belum pernah mencuba bolehlah datang kesini atau telefon sahaja nombor yang tertera (di ruangan sebelah). Teringat seorang sepupu saya dari KL yang tidak pernah makan ikan keli seumur hidupnya, bila melihat keli salai terasa ingin mencuba tetapi masih ragu2, bila dah rasa sedikit ingin mencuba lagi, akhirnya hilang perasaan geli bila dah tiga ekor keli salai dihadapnya. Sejak itu baru dia akui akan keenakan ikan keli salai ini dan menawarkan diri untuk menjadi pengedar.

Ikan keli disusun dengan rapi supaya dapat dimasak sempurna.
Kolam yang seluas hampir 9 hektar ini terbahagi kepada 2 bahagian, ada bahagian khas untuk ternak ikan keli sangkar dan satu lagi bahagian untuk kaki pancing. Ikan yang terdapat didalamnya dari berjenis-jenis termasuklah haruan, tapah, talapia keli, patin dan banyak lagi. Rasa ikan dalam kolam ini tidak berbau hamis, ia lebih kepada rasa ikan sungai kerana saiz kolamnya besar dan saliran air yang elok, airnya sentiasa mengalir melalui anak sungai berhampiran. Siapa yang berminat boleh datang melawat dan melihat sendiri kawasan ini. Kedatangan anda sangat dialu-alukan.

Tempurung dijadikan bahan bakar kerana bau asapnya tidak merosakkan rasa asli ikan salai.

Sebenarnya kolam ini sedang dibaik pulih, banyak lagi dana yang perlu dilaburkan, untuk menarik perhatian pengunjung. Masalah utama yang sering melanda setakat ini ialah banjir, apabila air naik melebihi paras bahaya, sudah tentu banyak ikan dari kolam ini terlepas begitu sahaja, hanya ikan dalam sangkar sahaja yang boleh diselamatkan. Walaubagaimanapun setakat ini pemulihan sedang dilakukan, bahagian yang rendah akan ditambak dan beberapa buah chalet telah siap dibina dipinggir kolam itu dan telah habis semuanya disewakan.

Bila hujan lebat air dari anak sungai berhampiran akan masuk kedalam kolam, ini membuatkan air sentiasa bertukar ganti.


Permintaan chalet dikawasan ini sangat tinggi.

 Walaupun belum siap sepenuhnya dan banyak lagi kekurangan disana-sini, termasuk saluran elektrik  dan air yang dipam dari telaga, yang lucunya kebanyakan penyewa yang tinggal bukan dua atau tiga hari malahan ada yang menyewa berbulan-bulan lamanya. Sudah mirip kepada rumah sewa jadinya. Mungkin kerana suasananya sangat segar dikelilingi hutan yang hijau dan sewanya boleh dikatakan murah. Dari situlah timbul minat saya untuk membangunkan lagi kawasan ini dan unit chalet disekeliling kolam ini perlu ditambah kerana terbukti permintaannya sangat tinggi.

Beberapa buah lagi sedang dibangunkan
 Berbalik kepada  ikan keli salai, saya berhasrat untuk meluaskan lagi promosi ikan salai ini. Ramai lagi yang belum pernah merasa akan keenakannya, bagi mereka yang tinggal jauh umpamanya di bandar, ikan salai memang asing bagi mereka, ada yang tertanya-tanya "nak makan macamana ikan salai ni" kena masak dulu atau terus makan begitu bersama nasi?. Jawapannya semuanya boleh, masak dahulu atau terus makan begitu sahaja mengikut selera anda, kena cuba dulu baru tau. Tentang khasiatnya pula, mengikut kajian dalam berita harian baru2 ini, ikan keli salai sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Ia mempunyai asid lemak omega 3 yang tinggi, dapat mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung. Minyak ikan keli pula dapat mengurangkan ketidak stabilan denyutan jantung. Asid lemaknya pula mampu mengurangkan pembekuan darah yang berpunca dari sakit jantung. Ia juga dapat mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Selain itu ikan keli juga baik untuk pertumbuhan otak dan pembesaran kanak2 kerana kandungan DHA yang tinggi terdapat didalamnya. Otak manusia memerlukan lebih daripada 20gm DHA.
Permandangan dari halaman rumah